Rukun Islam

Pelajaran 5 daripada 5

Apa itu haji?

Daripada al-Quran

إِنَّ أَوَّلَ بَيۡتٖ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكٗا وَهُدٗى لِّلۡعَٰلَمِينَ ﴿٩٦﴾ فِيهِ ءَايَٰتُۢ بَيِّنَٰتٞ مَّقَامُ إِبۡرَٰهِيمَۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنٗاۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلٗاۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ ﴿٩٧﴾

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Ali 'Imran 3:96-97Baca dalam al-Quran

وَأَذِّن فِي ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالٗا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٖ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٖ ﴿٢٧﴾

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Al-Hajj 22:27Baca dalam al-Quran

Daripada Sunnah

Daripada Abu Hurayrah RA, beliau berkata: Saya mendengar Nabi ﷺ bersabda: "Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan tidak berkata buruk, dan tidak melakukan maksiat, maka dia kembali seperti hari dilahirkan oleh ibunya."

متفق عليه صحيح HadeethEnc.com
Penjelasan

Nabi ﷺ menjelaskan bahawa sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah SWT dan tidak melakukan rafath, iaitu persetubuhan dan mukadimahnya seperti mencium dan bersentuhan, serta kata-kata keji dan tidak melakukan fusuq dengan melakukan maksiat dan perbuatan dosa. Antara perbuatan fasik ialah melakukan larangan-larangan ihram, dia kembali dari hajinya dalam keadaan diampunkan, sebagaimana seorang bayi dilahirkan bersih daripada dosa-dosa.

Semua pelajaran