Pelajaran 7 daripada 8
Apa yang berlaku selepas mati?
Daripada al-Quran
كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ ﴿١٨٥﴾
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
يَوۡمَئِذٖ يَصۡدُرُ ٱلنَّاسُ أَشۡتَاتٗا لِّيُرَوۡاْ أَعۡمَٰلَهُمۡ ﴿٦﴾ فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ ﴿٧﴾ وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ ﴿٨﴾
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
وَٱتَّقُواْ يَوۡمٗا تُرۡجَعُونَ فِيهِ إِلَى ٱللَّهِۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفۡسٖ مَّا كَسَبَتۡ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ﴿٢٨١﴾
Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
Daripada Sunnah
Daripada Jabir RA, beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dua perkara yang mewajibkan itu?” Baginda bersabda: «Sesiapa yang mati tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu, maka dia akan masuk syurga; dan sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu, maka dia akan masuk neraka»
Penjelasan
Seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ tentang dua perkara: yang menyebabkan masuk ke dalam syurga, dan yang menyebabkan masuk ke dalam neraka? Maka Nabi ﷺ menjawabnya bahawa perkara yang mewajibkan syurga ialah mati dalam keadaan menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, Dan bahawa perbuatan yang menyebabkan neraka adalah apabila seseorang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu, iaitu dengan menjadikan bagi Allah sekutu dan tandingan dalam uluhiyyah-Nya atau rububiyyah-Nya atau nama-nama dan sifat-sifat-Nya.