Rukun Islam

Pelajaran 1 daripada 5

Apakah rukun Islam?

Daripada al-Quran

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ ﴿٥﴾

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.

Al-Bayyinah 98:5Baca dalam al-Quran

Daripada Sunnah

Daripada Abu ‘Abd al-Rahma iaitu Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab رضي الله عنهما, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Islam itu dibina atas lima perkara: Mengucapkan syahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad ﷺ ialah hamba dan utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji bagi yang mampu dan berpuasa pada bulan Ramadan.

رواه البخاري ومسلم صحيح HadeethEnc.com
Penjelasan

Nabi ﷺ mengumpamakan bahawa Islam itu seperti sebuah bangunan yang kukuh dengan lima tiang serinya sebagai sendi binaan tersebut, manakala amalan-amalan lain dalam Islam berfungsi sebagai penyempurna binaan itu. Rukun pertama daripada lima rukun itu ialah dua kalimah syahadah iaitu mengucap tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad ﷺ ialah pesuruh Allah. Kedua-duanya merupakan satu rukun yang tidak boleh dipisahkan. Dengan mengucapkannya, seorang hamba mengakui keesaan Allah, mengesahkan bahawa hanya Dia yang layak disembah bukan selainnya, beramal selari dengan pengakuan itu, serta mempercayai dan mengikuti risalah Muhammad ﷺ. Rukun kedua ialah menunaikan solat, iaitu lima solat fardhu yang diwajibkan setiap hari dan malam: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, dengan menunaikannya mengikut syarat, rukun, dan kewajipan yang ditetapkan. Rukun ketiga ialah menunaikan zakat yang diwajibkan, iaitu ibadah harta yang wajib dikeluarkan daripada setiap harta yang mencapai nisab tertentu menurut syarak, dan diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya. Rukun keempat ialah menunaikan haji, iaitu pergi ke Mekah untuk melaksanakan ibadah haji sebagai pengabdian kepada Allah ﷻ. Rukun kelima ialah puasa Ramadan, iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat beribadah kepada Allah ﷻ bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Semua pelajaran